Monday, July 26, 2010

KISAH

ANDAI DAPAT KUUNDUR WAKTU….

CERITA SATU
Akan kupelajari anyaman tikar mengkuang dan tikar sambau daripada ibuku. Akan kubantu ibu menebang pohon mengkuang tanpa takut kepada duri-durinya. Akan kususun daun-daun mengkuang itu satu persatu, akan kuikat kemas-kemas, akan kujunjung di atas kepalaku seperti apa yang dibuat oleh ibuku. Walau perjalanan itu jauh. Akan kuambil pisau raut yang tajam lantas kusiatkan duri-duri tanpa rasa ngeri. Itulah yang dibuat oleh ibuku dulu. Kulihat ibu mengambil sejenis pisau banyak mata, ‘jangka’ namanya kata ibuku. Lalu kuguriskan pada daun mengkuang itu hingga ia berjurai-jurai halus dengan ukuran yang sama. Sedangkan aku hanya memandang saja apa yang dilakukan oleh ibuku.
Aku masih hairan hingga kini mengapa ibu tidak pernah meminta aku membantunya dari saat mula dia menebang pokok hinggalah daun-daun itu diletakkannya di bawah rumah. Aku hanya mengikut di belakang ibu. Aku adalah pemerhati dan pengikut yang setia kepada ibuku.
Aku masih ingat lagi ibu membawa daun-daun mengkuang yang sudah dijurai halus itu ke dalam kolah di belakang rumah. Satu bahagian dibubuhnya pencelup merah, satu bahagian pencelup hijau dan satu lagi tanpa pewarna. Direndam ketiga-tiga bahagian tadi hingga beberapa malam. Pada ketika yang lain pula kulihat ibu mengeluarkan mengkuang yang berwarna dan basah itu dijemur di halaman rumah ketika matahari terik. Apabila petang, hari sudah redup diteduhkan pula di bawah rumah. Begitulah beberapa kali hingga daun-daun itu siap untuk dianyam lalu dibawa ke atas rumah pula.
Aku lihat ibu memulakan tugas menganyam pada waktu malam selepas anak-anaknya tidur kecuali aku yang gemar berjaga selagi ibu belum tidur. Akulah anaknya yang paling setia. Aku melihat apa yang ibuku lakukan apabila anak-anaknya sudah tidur di dalam kelambu masing-masing yang dia sendiri memasangkannya. Hingga ke saat ini aku hairan ibuku tidak pernah menyuruh kami menggantungkan kelambu kami sendiri.
Esok pagi aku melihat tikar mengkuang sudah terlagang lebih kurang sebesar tapak tangan. Begitulah pada malam-malam yang berikutan sehinggalah sehelai demi sehelai tikar mengkuang itu siap.

Oh ibu! Aku sudah duduk, baring dan tidur di atas tikar buatanmu separuh daripada usiaku dan nikmatnya masih dapat kurasakan sehingga kini walau pada hakikatnya kini aku amat bertuah dapat duduk, tidur dan baring di atas permaidani yang kubeli dari Istanbul dan tidak dapat menyamai nikmat berada di atas tikar buatanmu ibu!


ANDAI DAPAT KUUNDUR WAKTU….

CERITA DUA
Abangku Alias, dan Ismail, Kakakku Hasnah… di bawah rumah lepas makan tengah hari……Abang Lias memetik gitar, Abang Mail mengetuk drum (baldi, pinggan ayan, beg usang).Kak Hasnah menyanyi lagu Orkid Abdullah dan aku seperti biasa, pemerhati setia. Selepas satu lagu ke satu lagu. Lepas satu lagu ke satu lagu. Tiba-tiba hujan panas turun. Gitar diletakkan cepat, drum tinggal terus, penyanyi terpinga-pinga. Aku terus berlari mengikut kedua-dua abangku yang berlari begitu pantas membawa botol cuka getah masing-masing di tangan mereka. Aku tidak membawa apa-apa terus berlari di belakang mereka tanpa tahu tujuan terus menuju ke kebun getah Wan Kayah. Sampai sahaja pada batang-batang getah mereka terus memancutkan sedikit cuka getah di dalam pot getah. Ada susu yang masih mengalir ke dalam pot. Aku masih ingat abang Lias kata “cepat-cepat karang getah cayo!”. Dia mengarah Abang Mail. Kini baru aku tahu jika susu kena air hujan ia akan cair terbuang tak dapat dijadikan getah buku. Baru kutahu sebelum makan nasi tadi mereka menoreh getah buat kedua kalinya untuk hari itu untuk mendapatkan duit lebih menyara makan aku dan adik beradikku.
Andai dapat kuundur waktu, seharusnya aku membawa berlari laju sebotol cuka getah juga untuk membantu abang-abangku menjadikan susu getah kepada getah buku dengan lebih cepat. Aku hanya pemerhati dan pengikut setia.
Andai dapat kuundur waktu akan kucium tangan abang-abangku mengucapkan terima kasih kerana jasa merekalah aku dapat besar, sihat dan pandai sehingga hari ini. Separuh isi perutku ini adalah hasil titik peluh mereka yang memang kutahu tidak pernah mereka merungut minta dibalas.

ANDAI DAPAT KUUNDUR WAKTU….

CERITA TIGA
Aku masih ingat kepada Rashid budak Ulu Piol pandai menyanyi lagu Hindustan. Rashid pemuda lelah(asthma) tapi kuat memanjat pokok kelapa. Di keliling rumahku ada empat pokok kelapa yang lebat buahnya. Aku dan Kak Hasnah mendongak dan mencongak-congak jumlah buah kelapa yang sudah tua yang boleh dijual di kedai Wan Long Cepena.
Kami duduk di atas pangkin di tepi jalan menanti kalau-kalau Rashid lalu dengan basikalnya. Apabila kami dengar orang menyanyi lagu “ Caahoo….cahikohe moje janggeli kahe! Tumhene heha carahe. Humpiar miradil ……… yakare(2x) cahikohe moje janggeli kahe! caahoo…. Rashid dah datang.
Rashid berjaya menurunkan 20 biji kelapa dari tiga pokok. Ini bermakna kami ada projek pada malam ni.

Lepas solat maghrib, aku dan kak Hasnah berjalan ke kedai Wang Long Cepena untuk meminjam basikal yang ada raga besar. Apabila dapat basikal aku naik atas palang, Kak Hasnah mengayuh, kami pulang ke rumah. Kamipun memuatkan raga dengan 20 biji kelapa. Sudah siap Kak Hasnah akan mengayuh dan aku akan memegang raga sambil mengega-ngega takut kakakku gagal mengawal basikal yang sarat dengan kelapa itu. Kalau jatuh di tengah jalan nanti, mungkin padah jadinya. Takut dilanggar oleh kereta yang lalu-lalang walaupun tidak begitu sibuk jalan di kampungku itu.
Kami lega sebab kami berjaya membawa dan memunggah kelapa di depan kedai Wan Long Cepena pada malam itu. Tanpa sebarang gangguan terutamanya budak-budak lelaki kampung yang baru mengisi usia remaja. Dan kami tidak mahu mereka menyebutnya di kalangan rakan-rakan apabila kami pergi ke sekolah nanti. Maklumlah kami sudahpun menjadi anak dara di kampung itu. Wan Long Cepena memberi kami RM2.80 kerana sebiji kelapa harganya 14 sen.
Kami berikan wang itu kepada ibu untuk membeli barang-barang keperluan keluargaku esok hari. Masih aku ingat lagi, kakakku gadis cantik berumur 15 tahun manakala aku pengikut setia yang baru berusia 13 tahun. Aku bangga hingga kini kerana kami dapat menyumbang bakti kepada keluarga kami walaupun usia kami semuda itu.
Andai dapat kuundur waktu mahu saja aku memberikan upah yang lebih kepada Rashid kerana pada siang itu kami berikan dia 30 sen dan segelas air sejuk.
Andai dapat kuundurkan waktu mahu saja aku membawa kelapa-kelapa itu pada waktu siang dan menunjukkan bahawa anak gadis semuda kami juga mempunyai tanggungjawab membantu keluarga mencari rezeki. Mengapa harus malu?
Aku pulang kampung beberapa tahun dulu aku diberitahu Rashid sudah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah.


ANDAI DAPAT KUUNDUR WAKTU….

CERITA EMPAT
Andai dapat kuundur waktu…aku tidak mahu memalukan diriku ini. Akan kupinjam kasut putih sekolah daripada Siti Hapsah kawanku kerana dia anak bongsu keluarga berada.
Aku tidak awas dan tidak tahu bahawa hari itu adalah hari penyampaian hadiah di sekolahku. Bukan aku bodoh, tetapi mungkin aku tidak peka tentang majlis itu sedangkan salah seorang yang diraikan ialah aku.
Kami diminta berada di kantin sekolah. Selepas guru besar berucap nama-nama pelajar yang berjaya mendapat tempat pertama kedua dan ketiga dalam peperiksaan akhir tahun disebutkan.

Nama-nama murid disebutkan bermula dari Darjah Satu. Apabila sampai ke Darjah Empat, “Tempat pertama Dzaharah binti Ngah Othman. Tempat kedua jatuh kepada …. Namaku dipanggil. Kawan-kawanku bersorak, bertepuk tangan. Aku terus naik ke atas pentas. Bajuku putih, kekelabu-kelabuan akibat keusangannya, gaunku biru kepudar-pudaran akibat usianya, kasutku….hanya kasut jepun lusuh berwarna biru dengan tanah liat menghiasinya kerana dalam perjalanan aku ke sekolah tadi hujan turun mengiringiku.
Aku dihadiahkan sebuah piala yang dibuat daripada perak. Aku sangat gembira. Aku balik ke rumah pada hari itu dengan sebuah senyuman dan terus menyimpan piala itu di dalam almari kayu yang usang di anjung rumahku. Aku pun tidak terlintas untuk menunjukkannya kepada mana-mana ahli keluargaku kerana ibu dengan urusan mencari ubi kayu, ayah entah ke mana dan ahli yang lain-lain juga tiada yang ingin tahu.
Aku sendiri yang gembira melihat piala perak di dalam almari itu. Dan kegembiraan itu kukongsikan dengan anak-anakku Manja dan Emilia dengan linangan air mata. Aku bangga kerana anak-anakku memahami aku dengan kepayahanku dan mereka juga menitiskan air mata mendengar ceritaku. Akulah ibu mereka yang daif itu.

Andai dapat kuundur waktu, ingin saja aku meminjam sepatu putih daripada sahabatku yang bernama Siti Hapsah itu agar aku kelihatan kemas dan hebat sesuai dengan kehebatan pencapaian akademikku.








ANDAI DAPAT KUUNDUR WAKTU….

CERITA LIMA

Andai dapat kuundur waktu aku tidak mahu menunggu kawanku Hasnah di bawah pokok bungor itu.
Aku masih ingat pada tengah hari itu aku dan Dzaharah telah berjanji akan pergi mandi sungai di Kampung Guar belakang rumah Siti Hapsah. Tetapi kami terpaksa menunggu Hasnah yang akan ikut serta. Rumah Hasnah di Seberang Manong. Dia akan naik sampan dari rumahnya.Aku dan Dzaharah duduk menunggu Hasnah di tepi tebing Sungai Perak di bawah pohon bungor sambil berbual-bual. Hari sudah hampir petang tetapi Hasnah tidak juga muncul-muncul. Tiba-tiba seekor penyengat terbang laju terus hinggap di mata kiriku terus menyengat. Aduh!!!aku menjerit. Aduh!!Sakitnya!!. “Ya,Allah!!!!kata Dzaharah terus mengusap-usap mataku. Aku rasakan mataku seolah-olah terbakar. Meletup!!!. Kami tak tahu apa nak buat. Tiba-tiba Dzaharah mencadangkan kami letakkan ais supaya sejuk, lantas kami pergi ke kedai air batu membeli seketul ais kepal yang berharga 10 sen. Sambil menyedut ais yang manis itu kongsi berdua, aku mengambil sedikit ais lalu menekupkan ke mata kiriku yang amat panas itu.

Hasnah langsung tidak muncul. Hajat kami, kami teruskan juga. Dzaharah menyayuh basikal. Aku duduk di belakang sambil menekup mataku dengan ais. Sampai saja di tepi Sungai Guar kami terus melompat mandi. Ada akar pokok besar berjuntai di tepi sungai itu memang menjadi tempat kami bergayut dan menghumbankan diri ke dalam sungai itu. Kami mandi dan terjun berjam-jam lamanya. Aku tidak hirau lagi tentang mataku.
Mata kiriku rupa-rupanya telah tertutup, bengkak seperti belon. Aku berhenti mandi. Dzaharah juga amat risau melihat mataku yang menggelembung. Dengan pakaian yang basah di badan kami berbasikal pulang ke rumah. Hari sudah senja. Aku tidur awal pada malam itu dengan kesakitan di mataku. Aku tidak memberitahu ibuku. Saudara-mara yang lain juga tidak bertanya.
Andai dapat kuundurkan waktu aku tidak mahu menunggu Hasnah di bawah pohon bungor itu…

ANDAI DAPAT KUUNDUR WAKTU….











ABANGKU

ABANG LIAS IALAH ABANGKU YANG SATU-SATUNYA YANG MASIH BERADA BERSAMA-SAMA KAMI ADIK BERADIK. KEDUA-DUA ABANGKU YANG LAIN TELAH DIJEMPUT ILAHI BEBERAPA TAHUN DAHULU. APA SAJA MASALAH DAN KERUNSINGAN YANG KUALAMI AKAN KURUJUK ABANG LIAS. DALAM USIANYA YANG KE ENAM PULUHAN KINI DIA TETAP SIHAT DAN TEGAR WALAUPUN KADANG-KADANG DIA TERBATUK-BATUK. SETIAP TAHUN AKU AKAN PULANG KE RUMAH ABANG LIAS TERUTAMANYA UNTUK MENYAMBUT AIDILFITRI. AKU INGIN PULANG MENEMUI ABANG LIAS NAMUN OLEH TUGASKU YANG BANYAK AKUTIDAK DAPAT PULANG. AKU TERUS TERINGAT ABANG LIASKU DAN DAPAT MENGIMBAU SEMULA APA YANG AKU LALUI PULUHAN TAHUN YANG LALU.

PERISTIWA SATU
AYAH DAN IBU BARU SAJA BERBARING DI KAMAR MEREKA SETELAH BERGITU PENAT MENCARI REZEKI PADA SIANG HARI. PADA SIANGNYA AKU LIHAT WAJAH AYAH SANGAT MURAM. MUNGKIN HIMPITAN HIDUP KELUARGAKU YANG AMAT SUKAR MENCARI SESUAP NASI UNTUK KAMI ANAK-ANAKNYA YANG SEMBILAN ORANG INI MENJADI STIGMA KERUNSINGAN AYAHKU. AYAH NAMPAK SANGAT LETIH SIANG TADI.
AKU, KAKAKKU HASNAH, ABANG MAIL DAN ABANG LIAS TIDUR DALAM SEBUAH KELAMBU BESAR YANG DISIAPKAN OLEH IBU SEBENTAR TADI. ESOK AKU DAN KAK HASNAH AKAN KE SEKOLAH. AKU DALAM TAHUN 4 DAN KAKAKKU DALAM TAHUN 6 SEKOLAH KEBANGSAAN MANONG.DAN KAMI MULA INGIN TIDUR. APA YANG BERLAKU IALAH ABANG LIAS DAN ABANG MAIL TERUS BERBUAL DAN BERGURAU DALAM KELAMBU. ABANG LIAS SANGAT PANDAI MELAWAK DAN KETAWA AGAK KUAT DENGAN ABANG MAIL. AKU DENGAR AYAH BERKATA” KAMU SEMUA TIDUR, JANGAN BISING!”. ABANG MAIL DAN ABANG LIAS SENYAP SEKEJAP. AKU MASIH BOLEH MENDENGAR MEREKA BERBISIK-BISIK DAN AKU TAK PASTI APA YANG MEREKA CAKAPKAN. TIBA-TIBA AKU TERPERANJAT SEBAB AYAH MENENGKING ABANG-ABANGKU AGAK KUAT.”TIDURLAH, JANGAN BISING!” TENGKING AYAH KEPADA ABANG-ABANGKU. SUASANA SENYAP KEMBALI. AKU AMAT MENGANTUK.
TIBA-TIBA AKU RASA AMAT SAKIT DI KEPALAKU. KELAMBU RUNTUH. SEBUAH KERUSI ROTAN TELAH DIHEMPAS KE ATAS KELAMBU KAMI. KELAMBU PUTUS TALINYA. AKU RABA DI KEPALAKU. PANAS. AKU RASA ADA DARAH. AKU SANGAT SAKIT. AKU MENANGIS TETAPI SUARA TANGISANKU TIADA SIAPA YANG MENDENGAR KERANA AKU AMAT TAKUT UNTUK MENGELUARKAN SEBARANG SUARA.
BARU AKU SEDAR SEMASA AKU SUDAH TERLELAP DAN KAK HASNAH JUGA SUDAH TIDUR, RUPA-RUPANYA KEDUA-DUA ABANGKU TIDAK TIDUR, TIDAK MENDENGAR CAKAP AYAH DAN TERUS BERSELOROH DAN BERMAIN DALAM KELAMBU MEMBUAT BISING. AYAH YANG SUDAH TIDAK DAPAT LAGI MEMBENDUNG RASA MARAHNYA TELAH MENGHEMPASKAN SEBUAH KERUSI ROTAN KE ATAS KELAMBU KAMI. MALANGNYA AKU YANG MENJADI MANGSA. SEJAK SAAT ITU AKU AMAT BERDENDAM KEPADA ABANG-ABANGKU. INGIN SAJA AKU MENGANGKAT KERUSI ROTAN ITU NAK KULEMPARKAN KE MUKA ABANG LIAS SEBAB AKU AMAT KENAL AKAN KENAKALANNYA. APAKAN DAYA AKU TAKUT DAN TAK ADA KEKUATAN PADA SAAT ITU.




PERISTIWA KEDUA
AKU SEORANG PELAJAR YANG PINTAR DAN AKU TIDAK RAGU-RAGU UNTUK MENGAKUI HAL INI. AKU TIDAK PERNAH MEMBACA BUKU APABILA BERADA DI RUMAH. TETAPI AKU MENUMPUKAN PERHATIAN HANYA DI DALAM BILIK DARJAH. SEBARANG KERJA RUMAH YANG DIBERIKAN OLEH GURU AKAN KUBUAT DAN KUSIAPKAN SELEPAS WAKTU SEKOLAH. AKU BUAT KERJA RUMAH DALAM BILIK DARJAHKU SELEPAS WAKTU PERSEKOLAHAN TAMAT. AKU BALIK LAMBAT DAN BERJALAN KAKI PULANG APABILA SEMUA KERJA RUMAH SUDAH SELESAI.
AKU SUKA MEMBACA BUKU CERITA. AKU HANYA ADA SEBUAH BUKU CERITA YANG BERJUDUL ‘ANAK BERTUAH’ HADIAH GURUKU KERANA AKU MENDAPAT TEMPAT PERTAMA DALAM PERTANDINGAN TULISAN JAWI. AKU TIDAK SUKA MEMBACA MAJALAH HIBURAN. TETAPI AKU SERING MELIHAT ABANG LIAS MEMBELI MAJALAH HIBURAN TAHUN-TAHUN 60-AN. AKU RASA TINDAKANNYA ITU AMAT MEMBAZIR. AKU TIDAK SUKA AKAN PERANGAINYA DAN AKU ANGGAP DIA BODOH. AKU PALING MELUAT MELIHAT DIA MEMOTONG GAMBAR-GAMBAR PENYANYI WANITA. AKU LIHAT GAMBAR RAFEAH BUANG, MARIA BACHOK, AZIZAH MUHAMAD DAN RAMAI LAGI PENYANYI YANG DIPOTONG OLEH ABANG LIAS DAN DISIMPAN DALAM SEBUAH BUKU CATATAN. DIA AKAN MENYIMPANNYA DALAM SEBUAH LACI DI DALAM BILIK RUMAHKU.
ADA TANDA TANYA DALAM FIKIRANKU. AKU AMAT INGIN MELIHAT BUKU CATATAN ITU. PADA SUATU HARI AKU BERPELUANG MELIHATNYA SEBAB ABANG LIAS LUPA MENGUNCI LACI ALMARI DI MANA BUKU CATATAN ITU DISIMPANNYA. AKU TERPERANJAT APABILA AKU DAPATI BUKAN SAHAJA GAMBAR PENYANYI WANITA ITU DISIMPAN, TETAPI DIA TELAH MELEKATKAN GAMBAR PENYANYI ITU DEKAT GAMBARNYA. SEOLAH-OLAH DIA BERDIRI BERDUA-DUAAN DENGAN PENYANYI KESAYANGANNYA. AKU MENYAMPAH DAN MELUAT. AKU BERTINDAK MENCONTENG-CONTENG SEMUA GAMBARNYA. SELEPAS AKU CONTENG SEMUANYA AKU LETAKKAN SEMULA KE DALAM LACI. APABILA DIA MENGAMBIL BUKU CATATAN ITU MUNGKIN DIA TERPERANJAT DAN DIA SEOLAH-OLAH DAPAT MENGAGAK ITU KERJA JAHAT AKU. YANG PELIKNYA, DIA TAK PERNAH BERTANYA ATAU MENENGKING ATAU MENGHERDIK AKU. DIA DIAM.
AKU SERING DUDUK DI ATAS TANGGA RUMAH PADA WAKTU PETANG. PADA KETIKA INILAH DIA MEMBALAS DENDAM KEPADA AKU. SETIAP KALI DIA LALU NAIK ATAU TURUN TANGGA DI AKAN MENGETUK KEPALA AKU DENGAN AMAT KUAT. TANPA MARAH ATAU MENYATAKAN APA YANG MENYEBABKAN DIA BERBUAT BEGITU. AKU SANGAT MARAH DAN MENYIMPAN DENDAM TERHADAPNYA BEGITU LAMA.

Thursday, September 24, 2009

Antara Guli dan Rakit 5


Apabila dikira-kira setelah ditimbang, Imah diberikan oleh Apek RM2.90. Kata Apek, “Nah! Bagi emak kamu!. Apek memang mengenali Imah dan keluarganya. Dengan wang itu Imah membeli beras segantang, RM1.80, Ikan belanak masin, 30 sen dan minyak nyor 30 sen. Ada lebihnya 50 sen yang akan dibawa balik oleh Imah. Imah menyayuh perlahan ke rumahnya membawa semua barang-barang yang dipesan oleh Wan Sariah.
Dalam perjalanannya, jauh di sudut hatinya Imah menginsafi betapi susahnya hidup ini dan dia mula bertekad akan belajar rajin-rajin untuk menjadi seperti guru matematiknya Cikgu Aripin yang hidupnya sangat senang sekarang.

Tuesday, June 30, 2009

Antara Guli dan Rakit 4

Imah duduk sambil makan pisang rebus yang diambilnya dalam bakul emaknya tadi. Imah melihat sambil fikirannya bergerak terus ke gelanggang guli yang ditinggalkannya tadi. Rasa terkilan tetapi dia bungkam dan kadang-kadang menerawang dengan khayalan sendiri.

Tiba-tiba Wan Sariah berteriak, “Imah! Mari kita pergi.” Rakit sudah tersedia di atas air. Imah terus duduk di atas rakit sambil memegang bakul dan parang. Wan Sariah mula menolak rakit buluh itu dengan galah yang dibuat daripada buluh aur juga. Wan Sariah menggalah menyusuri sungai sejauh hampir 50 meter ke hulu kemudian mengemudi kepala rakit untuk menyeberang sungai yang pasang itu. Dalam keadaan rakit yang hanyut itu dia membetulkan kepala rakit supaya perlahan-lahan dapat menyeberang sungai itu. Rakit terus hanyut dan akhirnya sampai juga ke seberang dan tepat tersangkut pada perdu tebu gajah di tebing pulau itu. Rakit diikat pada akar pokok mempelam yang terjulur di tebing sungai.
Semak dirintis dan Imah menjadi pengikut yang amat setia. Wan Sariah terus menghala ke perdu pisang emas, menebas-nebas dan terus menebangnya. Setandan pisang emas sudah ada di tanah. Kemudian setandan pisang nangka pula. Wan Sariah mencari pula buah kelapa yang luruh, mengupasnya. Empat biji kelapa dikupas kulitnya dan dimasukkan ke dalam bakul. Imah duduk di tepinya sambil mengibas-ngibas nyamuk dan agas.
“Dah siap Imah, mari tolong emak angkat bakul ni. Emak nak angkat pisang ni ke rakit.” Imah menurut saja. Kedua-dua beranak sudah berada di atas rakit buluh, dengan empat biji kelapa dalam bakul, sebilah parang dan dua tandan pisang. Imah duduk, tangan kanan memegang bakul dan parang dan tangan kirinya di atas tandanan pisang.
Wan Sariah menggunakan teknik yang sama juga untuk ke seberang. Dia menyusur ke hulu sungai, dengan kekuatan tangan dan galah buluhnya. Sudah 50 meter rakit ditolak ke hulu. Dilepaskan galah perhan-lahan. Hanya dibetulkan kepala rakit agar menyeberang sungai sambil berhanyut. Akhirnya sampai juga ke seberang. Basikal masih ada di tepi pokok tadi. Tidak hilang. Syukur. Rakit diikat oleh Wan Sariah sambil membaca ayat-ayat yang tak jelas didengari oleh sesiapapun, dan berdoa dalam hatinya supaya rakit itu tidak hilang sebagaimana sampan usangnya.
Dua tandan pisang diikat kemas atas lantin basikal. Wan Sariah bersuara, “Imah, kamu jualkan pisang ni ke kedai Apek. Sementara tu biar emak berjalan balik. Bila dah jual nanti kamu beli beras segantang, ikan masin belanak tiga kupang, minyak nyor tiga kupang. Kamu terus balik ya!” Dengan arahan emaknya itu Imah mengayuh basikal membawa pisang terus ke kedai Apek yang terletak di pekan kecil kampung itu, dua kilometer jaraknya dari pulau.

Monday, June 29, 2009

Antara Guli dan Rakit 3

Imah terus mencari sebatang pokok untuk menyandarkan basikalnya. Imah menyentap pelepah pisang kering lantas mengikat kemas palang basikal ke pokok tadi. Wan Sariah berjalan mundar -mandir mencari sesuatu, dengan mukanya agak cemas.
“Allah! Sampan kita dah ambil dek orang!” jeritnya.
Imah tercengang melihat gelagat emaknya. Segera fikirannya teringat pada main guli. Tanpa berfikir terus sahaja Imah menjawab, “Jom lah balik, macamana nak pergi?”

Tanpa menjawab secepat kilat Wan Sariah menuju ke perdu buluh aur dan menebang buluh sebatang demi sebatang. Imah tiba cepat di belakang emaknya dan terus menarik dan menyusun ke tepi batang-batang buluh yang telah ditebang. Wan Sariah dengan nada kecewa berkata, “Terpaksalah kita buat rakit, Imah. Kita kena pergi ke pulau juga. Kalau tak pergi habislah pisang tu diambil orang.”
Imah terus duduk di tepi rumpun buluh sambil melihat apa saja yang dibuat oleh Wan Sariah. Wan Sariah terus pula menebang pokok-pokok kecil sebesar ibu jari kaki, menyisir daunnya dan dipotong sepanjang lebih kurang 5 kaki setiap satu. Ada lapan semuanya. Kemudian Imah melihat emaknya mencari-cari sesuatu dalam semak di situ. Tidak lama kelihatan Wan Sariah keluar dari semak membawa sebeban akar pokok sekentut lalu dicampakkannya ke sebelah batang-batang buluh tadi. Wan Sariah menambah lagi bekalan tali dengan menebang pokok senia lalu menyiat-nyiat kulitnya untuk dijadikan tali. Imah terus berdiam saja tanpa berkata apa-apa kepada emaknya.

Wan Sariah mula menyusun batang-batang buluh dan memotong hujungnya untuk mendapatkan ukuran yang sama setiap satu. Disusun, ditakik untuk menanda tempat-tempat yang terbaik untuk dibuat lubang. Wan Sariah mencucukkan kayu sebesar ibu kaki itu ke lubang yang pertama pada setiap batang buluh, dari yang pertama hingga batang yang ke sebelas semuanya. Kemudian mencucukkan ke lubang yang kedua pada setiap buluh hinggalah ke lubang yang hujung pada setiap sebelas batang buluh itu. Imah melihat emaknya sudah basah kuyup dengan keringat tetapi kerjanya masih separuh siap. Kegigihan emaknya itu menyebabkan Imah sudah terlupa pada kawan-kawannya lantas Imah mengirai akar dan kulit senia tadi untuk memudahkan Wan Sariah mengambilnya untuk mengikat rakit tersebut. Satu demi satu silangan lubang pada buluh dan kayu melintang sebesar ibu kaki itu diikat Wan Sariah dengan kemas sehabis kudratnya. Rakit menjadi semakin kemas dari alu hinggalah ke ekornya.

Saturday, June 6, 2009

Antara Guli dan Rakit 2

Biasanya Imah akan menang dan sesiapa yang nak beli guli dia akan menjualnya dengan harga 5 sen untuk sepuluh biji guli. Dalam satu hari kalau main sampai petang dan ramai budak dari kampung lain datang bermain, Imah akan dapat empat puluh sen hasil jualan guli.



Tiba-tiba Wan Sariah muncul dengan sebilah parang dan sebuah bakul di tangan di depan Imah dan budak-budak bertiga tu. “Imah, jom bawak emak ke Pulau, ambik basikal di bawah rumah tu, cepat!”

Imah agak terperanjat. Satu pusingan permainan lesen guli pun masih belum habis, tetapi dia dikehendaki membuat tugas lain. Ha’ali, Nanak dan Mizi juga terpinga-pinga kerana terpaksa berhenti bermain pada pagi itu. Ketiga-tiga budak itu bersurai dengan muka yang agak kecewa sebab ketua mereka sudah ada tugas lain pula. Satu keistimewaan Imah iaiah dia tak pernah membantah atau menyoal balik apa saja yang disuruh oleh ibunya.

Dalam fikiran Imah sudah terbayang yang dia akan mengayuh basikal dan emak menjadi pemboncengnya. Tempat yang ditujui agak jauh juga lebih dari tiga kilometer jaraknya. Sampai di sana Imah akan menyandarkan basikalnya di tebing sungai. Kemudian diikat basikalnya dengan pelepah pisang kering ke sebatang pokok sebelum dia naik sampan menyeberang sungai untuk sampai ke pulau.

Begitu laju kayuhannya dan kelibat mereka berdua sekejap nampak sekejap hilang di lorong semak dusun durian sepanjang perjalanan menuju pulau. Dalam kayuhan itu, Imah amat terkilan kerana kawan-kawannya terpaksa pulang dengan kecewa dan main guli tertangguh lagi.

Tebing sungai sudah kelihatan. Pulau kelihatan di seberang sana dan hari sudah hampir tinggi. Embun sudah kering. Tetapi air sungai alirnya amat deras, pasang. Warna air yang keruh dan kelihatan bangkar-bangkar buluh dan daun-daun menghanyut. Imah memperlahankan kayuhan, Wan Sariah sedikit terjun dari basikal terus melangkah ke tebing. Sambil berjalan dia mengarah Imah.
“Sorok-sorok sikit basikal tu Imah, jangan nampak dek orang lalu lalang.”

Monday, May 25, 2009

Antara Guli dan Rakit 1

Matahari baru lagi memancarkan sinarnya. Di halaman rumah kelihatan sedikit kabus yang tertinggal, yang akan hilang disinar matahari tak lama lagi. Ayam di reban pun sudah keluar semuanya mencari makan. Tetapi masih kedengaran kokok ayam di kejauhan Kampung Suak Petai. Pagi itu amat nyaman kerana malam tadi hujan turun agak lebat. Buktinya masih ada titis-titis embun di hujung dedaun dan rumput. Ayam sedang berebut-rebut menangkap serangga yang terperangkap di celah-celah rumput di tepi halaman.

Nun di sudut halaman rumah sudah ada gelanggang dibuka. Gelanggang guli. Imah berseluar pendek dan berbaju kelabu sudah menggaris-garis tanah membentuk satu bulatan menggunakan sekerat kayu.

“Opps! Cukuplah besar itu,” kata Nanak. “Kalau besar sangat susah nak kena,” sambungnya. Ha’ali pula sedang membelek-belek gundu yang paling mantap untuk dijadikan jaguh menghentam guli-guli kawan. Ha’ali menunjukkan gundunya yang dikira-kiranya paling power untuk menyingkirkan guli orang lain.

“Tengok gundu aku ni, berat ni! Ini paling power tau!” Sambil menunjukkan ke muka Nanak. Nanak menjeling. Mizi hanya berdiam diri mencangkung melihat garisan yang sedang dibuat oleh Imah. Mizi memang seorang yang agak pendiam sama ada masa bermain, mahupun dalam bilik darjah. Tidak lama pertandingan akan bermula. Imah meminta setiap orang mengeluarkan 10 biji guli. Ditabur di dalam bulatan. Pilihan giliran dibuat.

“O…Som! O…Som! O…Som! Mula dengan Mizi, lepastu Nanak, lepas tu Haali, lepas tu aku!” Kata Imah. Biasanya Imah akan menang dan sesiapa yang nak beli guli dia akan menjualnya dengan harga 5 sen untuk sepuluh biji guli. Dalam satu hari kalau main sampai petang dan ramai budak dari kampung lain datang, Imah akan dapat paling kurang 40 sen sehari. Begitulah senario sudut halaman rumah Wan Sariah pada setiap pagi hujung minggu.

Balada Gadis Kecil

Kuabadikan lagu Zubir Ali ini untuk mengimbau insafku...

Gadis kecil itu telah bertahun
Dicengkam derita
Di khemah pelarian
Yang menjanjikan duka cita
Munir tak mengenal erti cinta
Telah kering air mata
Menangisi kematian
Ayah bonda dan saudara
Pada suatu senja langit Syatila
Menyaksikan pembunuhan
Anak kecil dan wanita
Munir ditembak penuh luka
Tapi ajalnya belum tiba
Kerna Tuhan mengasihi dia
Peristiwa hitam 17 September
Telah menjadi bukti
Sempurnalah kekejaman
Satu bangsa yang sombong dan hina.