Tuesday, June 30, 2009

Antara Guli dan Rakit 4

Imah duduk sambil makan pisang rebus yang diambilnya dalam bakul emaknya tadi. Imah melihat sambil fikirannya bergerak terus ke gelanggang guli yang ditinggalkannya tadi. Rasa terkilan tetapi dia bungkam dan kadang-kadang menerawang dengan khayalan sendiri.

Tiba-tiba Wan Sariah berteriak, “Imah! Mari kita pergi.” Rakit sudah tersedia di atas air. Imah terus duduk di atas rakit sambil memegang bakul dan parang. Wan Sariah mula menolak rakit buluh itu dengan galah yang dibuat daripada buluh aur juga. Wan Sariah menggalah menyusuri sungai sejauh hampir 50 meter ke hulu kemudian mengemudi kepala rakit untuk menyeberang sungai yang pasang itu. Dalam keadaan rakit yang hanyut itu dia membetulkan kepala rakit supaya perlahan-lahan dapat menyeberang sungai itu. Rakit terus hanyut dan akhirnya sampai juga ke seberang dan tepat tersangkut pada perdu tebu gajah di tebing pulau itu. Rakit diikat pada akar pokok mempelam yang terjulur di tebing sungai.
Semak dirintis dan Imah menjadi pengikut yang amat setia. Wan Sariah terus menghala ke perdu pisang emas, menebas-nebas dan terus menebangnya. Setandan pisang emas sudah ada di tanah. Kemudian setandan pisang nangka pula. Wan Sariah mencari pula buah kelapa yang luruh, mengupasnya. Empat biji kelapa dikupas kulitnya dan dimasukkan ke dalam bakul. Imah duduk di tepinya sambil mengibas-ngibas nyamuk dan agas.
“Dah siap Imah, mari tolong emak angkat bakul ni. Emak nak angkat pisang ni ke rakit.” Imah menurut saja. Kedua-dua beranak sudah berada di atas rakit buluh, dengan empat biji kelapa dalam bakul, sebilah parang dan dua tandan pisang. Imah duduk, tangan kanan memegang bakul dan parang dan tangan kirinya di atas tandanan pisang.
Wan Sariah menggunakan teknik yang sama juga untuk ke seberang. Dia menyusur ke hulu sungai, dengan kekuatan tangan dan galah buluhnya. Sudah 50 meter rakit ditolak ke hulu. Dilepaskan galah perhan-lahan. Hanya dibetulkan kepala rakit agar menyeberang sungai sambil berhanyut. Akhirnya sampai juga ke seberang. Basikal masih ada di tepi pokok tadi. Tidak hilang. Syukur. Rakit diikat oleh Wan Sariah sambil membaca ayat-ayat yang tak jelas didengari oleh sesiapapun, dan berdoa dalam hatinya supaya rakit itu tidak hilang sebagaimana sampan usangnya.
Dua tandan pisang diikat kemas atas lantin basikal. Wan Sariah bersuara, “Imah, kamu jualkan pisang ni ke kedai Apek. Sementara tu biar emak berjalan balik. Bila dah jual nanti kamu beli beras segantang, ikan masin belanak tiga kupang, minyak nyor tiga kupang. Kamu terus balik ya!” Dengan arahan emaknya itu Imah mengayuh basikal membawa pisang terus ke kedai Apek yang terletak di pekan kecil kampung itu, dua kilometer jaraknya dari pulau.

Monday, June 29, 2009

Antara Guli dan Rakit 3

Imah terus mencari sebatang pokok untuk menyandarkan basikalnya. Imah menyentap pelepah pisang kering lantas mengikat kemas palang basikal ke pokok tadi. Wan Sariah berjalan mundar -mandir mencari sesuatu, dengan mukanya agak cemas.
“Allah! Sampan kita dah ambil dek orang!” jeritnya.
Imah tercengang melihat gelagat emaknya. Segera fikirannya teringat pada main guli. Tanpa berfikir terus sahaja Imah menjawab, “Jom lah balik, macamana nak pergi?”

Tanpa menjawab secepat kilat Wan Sariah menuju ke perdu buluh aur dan menebang buluh sebatang demi sebatang. Imah tiba cepat di belakang emaknya dan terus menarik dan menyusun ke tepi batang-batang buluh yang telah ditebang. Wan Sariah dengan nada kecewa berkata, “Terpaksalah kita buat rakit, Imah. Kita kena pergi ke pulau juga. Kalau tak pergi habislah pisang tu diambil orang.”
Imah terus duduk di tepi rumpun buluh sambil melihat apa saja yang dibuat oleh Wan Sariah. Wan Sariah terus pula menebang pokok-pokok kecil sebesar ibu jari kaki, menyisir daunnya dan dipotong sepanjang lebih kurang 5 kaki setiap satu. Ada lapan semuanya. Kemudian Imah melihat emaknya mencari-cari sesuatu dalam semak di situ. Tidak lama kelihatan Wan Sariah keluar dari semak membawa sebeban akar pokok sekentut lalu dicampakkannya ke sebelah batang-batang buluh tadi. Wan Sariah menambah lagi bekalan tali dengan menebang pokok senia lalu menyiat-nyiat kulitnya untuk dijadikan tali. Imah terus berdiam saja tanpa berkata apa-apa kepada emaknya.

Wan Sariah mula menyusun batang-batang buluh dan memotong hujungnya untuk mendapatkan ukuran yang sama setiap satu. Disusun, ditakik untuk menanda tempat-tempat yang terbaik untuk dibuat lubang. Wan Sariah mencucukkan kayu sebesar ibu kaki itu ke lubang yang pertama pada setiap batang buluh, dari yang pertama hingga batang yang ke sebelas semuanya. Kemudian mencucukkan ke lubang yang kedua pada setiap buluh hinggalah ke lubang yang hujung pada setiap sebelas batang buluh itu. Imah melihat emaknya sudah basah kuyup dengan keringat tetapi kerjanya masih separuh siap. Kegigihan emaknya itu menyebabkan Imah sudah terlupa pada kawan-kawannya lantas Imah mengirai akar dan kulit senia tadi untuk memudahkan Wan Sariah mengambilnya untuk mengikat rakit tersebut. Satu demi satu silangan lubang pada buluh dan kayu melintang sebesar ibu kaki itu diikat Wan Sariah dengan kemas sehabis kudratnya. Rakit menjadi semakin kemas dari alu hinggalah ke ekornya.

Saturday, June 6, 2009

Antara Guli dan Rakit 2

Biasanya Imah akan menang dan sesiapa yang nak beli guli dia akan menjualnya dengan harga 5 sen untuk sepuluh biji guli. Dalam satu hari kalau main sampai petang dan ramai budak dari kampung lain datang bermain, Imah akan dapat empat puluh sen hasil jualan guli.



Tiba-tiba Wan Sariah muncul dengan sebilah parang dan sebuah bakul di tangan di depan Imah dan budak-budak bertiga tu. “Imah, jom bawak emak ke Pulau, ambik basikal di bawah rumah tu, cepat!”

Imah agak terperanjat. Satu pusingan permainan lesen guli pun masih belum habis, tetapi dia dikehendaki membuat tugas lain. Ha’ali, Nanak dan Mizi juga terpinga-pinga kerana terpaksa berhenti bermain pada pagi itu. Ketiga-tiga budak itu bersurai dengan muka yang agak kecewa sebab ketua mereka sudah ada tugas lain pula. Satu keistimewaan Imah iaiah dia tak pernah membantah atau menyoal balik apa saja yang disuruh oleh ibunya.

Dalam fikiran Imah sudah terbayang yang dia akan mengayuh basikal dan emak menjadi pemboncengnya. Tempat yang ditujui agak jauh juga lebih dari tiga kilometer jaraknya. Sampai di sana Imah akan menyandarkan basikalnya di tebing sungai. Kemudian diikat basikalnya dengan pelepah pisang kering ke sebatang pokok sebelum dia naik sampan menyeberang sungai untuk sampai ke pulau.

Begitu laju kayuhannya dan kelibat mereka berdua sekejap nampak sekejap hilang di lorong semak dusun durian sepanjang perjalanan menuju pulau. Dalam kayuhan itu, Imah amat terkilan kerana kawan-kawannya terpaksa pulang dengan kecewa dan main guli tertangguh lagi.

Tebing sungai sudah kelihatan. Pulau kelihatan di seberang sana dan hari sudah hampir tinggi. Embun sudah kering. Tetapi air sungai alirnya amat deras, pasang. Warna air yang keruh dan kelihatan bangkar-bangkar buluh dan daun-daun menghanyut. Imah memperlahankan kayuhan, Wan Sariah sedikit terjun dari basikal terus melangkah ke tebing. Sambil berjalan dia mengarah Imah.
“Sorok-sorok sikit basikal tu Imah, jangan nampak dek orang lalu lalang.”