Thursday, September 24, 2009

Antara Guli dan Rakit 5


Apabila dikira-kira setelah ditimbang, Imah diberikan oleh Apek RM2.90. Kata Apek, “Nah! Bagi emak kamu!. Apek memang mengenali Imah dan keluarganya. Dengan wang itu Imah membeli beras segantang, RM1.80, Ikan belanak masin, 30 sen dan minyak nyor 30 sen. Ada lebihnya 50 sen yang akan dibawa balik oleh Imah. Imah menyayuh perlahan ke rumahnya membawa semua barang-barang yang dipesan oleh Wan Sariah.
Dalam perjalanannya, jauh di sudut hatinya Imah menginsafi betapi susahnya hidup ini dan dia mula bertekad akan belajar rajin-rajin untuk menjadi seperti guru matematiknya Cikgu Aripin yang hidupnya sangat senang sekarang.

Tuesday, June 30, 2009

Antara Guli dan Rakit 4

Imah duduk sambil makan pisang rebus yang diambilnya dalam bakul emaknya tadi. Imah melihat sambil fikirannya bergerak terus ke gelanggang guli yang ditinggalkannya tadi. Rasa terkilan tetapi dia bungkam dan kadang-kadang menerawang dengan khayalan sendiri.

Tiba-tiba Wan Sariah berteriak, “Imah! Mari kita pergi.” Rakit sudah tersedia di atas air. Imah terus duduk di atas rakit sambil memegang bakul dan parang. Wan Sariah mula menolak rakit buluh itu dengan galah yang dibuat daripada buluh aur juga. Wan Sariah menggalah menyusuri sungai sejauh hampir 50 meter ke hulu kemudian mengemudi kepala rakit untuk menyeberang sungai yang pasang itu. Dalam keadaan rakit yang hanyut itu dia membetulkan kepala rakit supaya perlahan-lahan dapat menyeberang sungai itu. Rakit terus hanyut dan akhirnya sampai juga ke seberang dan tepat tersangkut pada perdu tebu gajah di tebing pulau itu. Rakit diikat pada akar pokok mempelam yang terjulur di tebing sungai.
Semak dirintis dan Imah menjadi pengikut yang amat setia. Wan Sariah terus menghala ke perdu pisang emas, menebas-nebas dan terus menebangnya. Setandan pisang emas sudah ada di tanah. Kemudian setandan pisang nangka pula. Wan Sariah mencari pula buah kelapa yang luruh, mengupasnya. Empat biji kelapa dikupas kulitnya dan dimasukkan ke dalam bakul. Imah duduk di tepinya sambil mengibas-ngibas nyamuk dan agas.
“Dah siap Imah, mari tolong emak angkat bakul ni. Emak nak angkat pisang ni ke rakit.” Imah menurut saja. Kedua-dua beranak sudah berada di atas rakit buluh, dengan empat biji kelapa dalam bakul, sebilah parang dan dua tandan pisang. Imah duduk, tangan kanan memegang bakul dan parang dan tangan kirinya di atas tandanan pisang.
Wan Sariah menggunakan teknik yang sama juga untuk ke seberang. Dia menyusur ke hulu sungai, dengan kekuatan tangan dan galah buluhnya. Sudah 50 meter rakit ditolak ke hulu. Dilepaskan galah perhan-lahan. Hanya dibetulkan kepala rakit agar menyeberang sungai sambil berhanyut. Akhirnya sampai juga ke seberang. Basikal masih ada di tepi pokok tadi. Tidak hilang. Syukur. Rakit diikat oleh Wan Sariah sambil membaca ayat-ayat yang tak jelas didengari oleh sesiapapun, dan berdoa dalam hatinya supaya rakit itu tidak hilang sebagaimana sampan usangnya.
Dua tandan pisang diikat kemas atas lantin basikal. Wan Sariah bersuara, “Imah, kamu jualkan pisang ni ke kedai Apek. Sementara tu biar emak berjalan balik. Bila dah jual nanti kamu beli beras segantang, ikan masin belanak tiga kupang, minyak nyor tiga kupang. Kamu terus balik ya!” Dengan arahan emaknya itu Imah mengayuh basikal membawa pisang terus ke kedai Apek yang terletak di pekan kecil kampung itu, dua kilometer jaraknya dari pulau.

Monday, June 29, 2009

Antara Guli dan Rakit 3

Imah terus mencari sebatang pokok untuk menyandarkan basikalnya. Imah menyentap pelepah pisang kering lantas mengikat kemas palang basikal ke pokok tadi. Wan Sariah berjalan mundar -mandir mencari sesuatu, dengan mukanya agak cemas.
“Allah! Sampan kita dah ambil dek orang!” jeritnya.
Imah tercengang melihat gelagat emaknya. Segera fikirannya teringat pada main guli. Tanpa berfikir terus sahaja Imah menjawab, “Jom lah balik, macamana nak pergi?”

Tanpa menjawab secepat kilat Wan Sariah menuju ke perdu buluh aur dan menebang buluh sebatang demi sebatang. Imah tiba cepat di belakang emaknya dan terus menarik dan menyusun ke tepi batang-batang buluh yang telah ditebang. Wan Sariah dengan nada kecewa berkata, “Terpaksalah kita buat rakit, Imah. Kita kena pergi ke pulau juga. Kalau tak pergi habislah pisang tu diambil orang.”
Imah terus duduk di tepi rumpun buluh sambil melihat apa saja yang dibuat oleh Wan Sariah. Wan Sariah terus pula menebang pokok-pokok kecil sebesar ibu jari kaki, menyisir daunnya dan dipotong sepanjang lebih kurang 5 kaki setiap satu. Ada lapan semuanya. Kemudian Imah melihat emaknya mencari-cari sesuatu dalam semak di situ. Tidak lama kelihatan Wan Sariah keluar dari semak membawa sebeban akar pokok sekentut lalu dicampakkannya ke sebelah batang-batang buluh tadi. Wan Sariah menambah lagi bekalan tali dengan menebang pokok senia lalu menyiat-nyiat kulitnya untuk dijadikan tali. Imah terus berdiam saja tanpa berkata apa-apa kepada emaknya.

Wan Sariah mula menyusun batang-batang buluh dan memotong hujungnya untuk mendapatkan ukuran yang sama setiap satu. Disusun, ditakik untuk menanda tempat-tempat yang terbaik untuk dibuat lubang. Wan Sariah mencucukkan kayu sebesar ibu kaki itu ke lubang yang pertama pada setiap batang buluh, dari yang pertama hingga batang yang ke sebelas semuanya. Kemudian mencucukkan ke lubang yang kedua pada setiap buluh hinggalah ke lubang yang hujung pada setiap sebelas batang buluh itu. Imah melihat emaknya sudah basah kuyup dengan keringat tetapi kerjanya masih separuh siap. Kegigihan emaknya itu menyebabkan Imah sudah terlupa pada kawan-kawannya lantas Imah mengirai akar dan kulit senia tadi untuk memudahkan Wan Sariah mengambilnya untuk mengikat rakit tersebut. Satu demi satu silangan lubang pada buluh dan kayu melintang sebesar ibu kaki itu diikat Wan Sariah dengan kemas sehabis kudratnya. Rakit menjadi semakin kemas dari alu hinggalah ke ekornya.

Saturday, June 6, 2009

Antara Guli dan Rakit 2

Biasanya Imah akan menang dan sesiapa yang nak beli guli dia akan menjualnya dengan harga 5 sen untuk sepuluh biji guli. Dalam satu hari kalau main sampai petang dan ramai budak dari kampung lain datang bermain, Imah akan dapat empat puluh sen hasil jualan guli.



Tiba-tiba Wan Sariah muncul dengan sebilah parang dan sebuah bakul di tangan di depan Imah dan budak-budak bertiga tu. “Imah, jom bawak emak ke Pulau, ambik basikal di bawah rumah tu, cepat!”

Imah agak terperanjat. Satu pusingan permainan lesen guli pun masih belum habis, tetapi dia dikehendaki membuat tugas lain. Ha’ali, Nanak dan Mizi juga terpinga-pinga kerana terpaksa berhenti bermain pada pagi itu. Ketiga-tiga budak itu bersurai dengan muka yang agak kecewa sebab ketua mereka sudah ada tugas lain pula. Satu keistimewaan Imah iaiah dia tak pernah membantah atau menyoal balik apa saja yang disuruh oleh ibunya.

Dalam fikiran Imah sudah terbayang yang dia akan mengayuh basikal dan emak menjadi pemboncengnya. Tempat yang ditujui agak jauh juga lebih dari tiga kilometer jaraknya. Sampai di sana Imah akan menyandarkan basikalnya di tebing sungai. Kemudian diikat basikalnya dengan pelepah pisang kering ke sebatang pokok sebelum dia naik sampan menyeberang sungai untuk sampai ke pulau.

Begitu laju kayuhannya dan kelibat mereka berdua sekejap nampak sekejap hilang di lorong semak dusun durian sepanjang perjalanan menuju pulau. Dalam kayuhan itu, Imah amat terkilan kerana kawan-kawannya terpaksa pulang dengan kecewa dan main guli tertangguh lagi.

Tebing sungai sudah kelihatan. Pulau kelihatan di seberang sana dan hari sudah hampir tinggi. Embun sudah kering. Tetapi air sungai alirnya amat deras, pasang. Warna air yang keruh dan kelihatan bangkar-bangkar buluh dan daun-daun menghanyut. Imah memperlahankan kayuhan, Wan Sariah sedikit terjun dari basikal terus melangkah ke tebing. Sambil berjalan dia mengarah Imah.
“Sorok-sorok sikit basikal tu Imah, jangan nampak dek orang lalu lalang.”

Monday, May 25, 2009

Antara Guli dan Rakit 1

Matahari baru lagi memancarkan sinarnya. Di halaman rumah kelihatan sedikit kabus yang tertinggal, yang akan hilang disinar matahari tak lama lagi. Ayam di reban pun sudah keluar semuanya mencari makan. Tetapi masih kedengaran kokok ayam di kejauhan Kampung Suak Petai. Pagi itu amat nyaman kerana malam tadi hujan turun agak lebat. Buktinya masih ada titis-titis embun di hujung dedaun dan rumput. Ayam sedang berebut-rebut menangkap serangga yang terperangkap di celah-celah rumput di tepi halaman.

Nun di sudut halaman rumah sudah ada gelanggang dibuka. Gelanggang guli. Imah berseluar pendek dan berbaju kelabu sudah menggaris-garis tanah membentuk satu bulatan menggunakan sekerat kayu.

“Opps! Cukuplah besar itu,” kata Nanak. “Kalau besar sangat susah nak kena,” sambungnya. Ha’ali pula sedang membelek-belek gundu yang paling mantap untuk dijadikan jaguh menghentam guli-guli kawan. Ha’ali menunjukkan gundunya yang dikira-kiranya paling power untuk menyingkirkan guli orang lain.

“Tengok gundu aku ni, berat ni! Ini paling power tau!” Sambil menunjukkan ke muka Nanak. Nanak menjeling. Mizi hanya berdiam diri mencangkung melihat garisan yang sedang dibuat oleh Imah. Mizi memang seorang yang agak pendiam sama ada masa bermain, mahupun dalam bilik darjah. Tidak lama pertandingan akan bermula. Imah meminta setiap orang mengeluarkan 10 biji guli. Ditabur di dalam bulatan. Pilihan giliran dibuat.

“O…Som! O…Som! O…Som! Mula dengan Mizi, lepastu Nanak, lepas tu Haali, lepas tu aku!” Kata Imah. Biasanya Imah akan menang dan sesiapa yang nak beli guli dia akan menjualnya dengan harga 5 sen untuk sepuluh biji guli. Dalam satu hari kalau main sampai petang dan ramai budak dari kampung lain datang, Imah akan dapat paling kurang 40 sen sehari. Begitulah senario sudut halaman rumah Wan Sariah pada setiap pagi hujung minggu.

Balada Gadis Kecil

Kuabadikan lagu Zubir Ali ini untuk mengimbau insafku...

Gadis kecil itu telah bertahun
Dicengkam derita
Di khemah pelarian
Yang menjanjikan duka cita
Munir tak mengenal erti cinta
Telah kering air mata
Menangisi kematian
Ayah bonda dan saudara
Pada suatu senja langit Syatila
Menyaksikan pembunuhan
Anak kecil dan wanita
Munir ditembak penuh luka
Tapi ajalnya belum tiba
Kerna Tuhan mengasihi dia
Peristiwa hitam 17 September
Telah menjadi bukti
Sempurnalah kekejaman
Satu bangsa yang sombong dan hina.